PUTRAJAYA - Sebanyak RM9 bilion diperuntukkan kerajaan dalam tempoh pemulihan semula ekonomi negara ekoran wabak Covid-19 khususnya membabitkan pelbagai sektor pekerjaan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan tersebut akan disalur melalui beberapa insiatif yang akan memberi manfaat kepada kira-kira tiga juta tenaga kerja.

"Saya tahu ramai dalam kalangan masyarakat yang bimbang risiko kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan berikutan banyak sektor dan aktiviti ekonomi terjejas ketika ini.

"Saya faham ekonomi akan mengambil masa untuk pulih dan terdapat golongan masyarakat yang masih perlukan bantuan sepanjang pemulihan ekonomi," katanya ketika membentangkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Inisiatif ini termasuk melanjutkan program Subsidi Upah yang diperkenal dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PRIHATIN Tambahan sebelum ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM5 bilion.