PUTRAJAYA - Sebanyak 44 kes positif Covid-19 varian Omicron telah disahkan melalui jujukan genom penuh yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan tujuh kes positif jangkitan tempatan di Sarawak.

Kes jangkitan import tersebut membabitkan dari Arab Saudi sebanyak 29, UAE (lima), Kazakstan (lima) United Kingdom (3), Amerika Syarikat (1) dan Tanzania (1).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ujian jujukan genom penuh (WGS) ke atas sampel-sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron masih dijalankan dan KKM akan memberi perkembangan terkini berhubungan pengesahan tersebut.

“Sementara itu saya baru sahaja menerima keputusan WGS dan IMR telah mengesahkan 72 lagi kes positif Covid-19 dengan varian Omicron dan 59 daripadanya adalah dari Arab Saudi.

“Perincian lanjut mengenai keputusan terbaharu ini akan dimaklumkan oleh KKM daiam waktu terdekat,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Susulan keputusan terbaharu itu, jumlah kumulatif kes positif Covid-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 245 kes dengan 233 adalah jangkitan luar manakala 12 kes penularan tempatan.

Daripada keseluruhan kes Omicron yang dilaporkan, sebanyak 157 kes atau 64.08 peratus merupakan jemaah umrah.

Kata Khairy Jamaluddin, KKM ingin mengingatkan agar individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan, dan tidak bertemu dengan ahh rumah atau individu yang lain.


Sementara itu katanya, penangguhan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan umrah diteruskan untuk tempoh sebulan berkuatkuasa 8 Januari ini manakala kuarantin wajib di stesen kuarantin bagi jemaah umrah.

Pada masa sama, penilaian risiko dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi mempertimbangkan pembukaan semula.

“KKM bersama kementerian dan agensi-agensi berkaitan akan mengemaskini SOP umrah, pengambilan dos penggalak sebagai syarat mengerjakan umrah, pengurusan kes dan kontak rapat di Arab Saudi.

“Pemantauan status kesihatan jemaah umrah di Arab Saudi serta memperkukuhkan tanggungjawab kepada agensi pelancongan agar memastikan pematuhan SOP umrah oleh jemaah dan petugas umrah selain melaporkan kes positif serta kontak rapat kepada pihak KKM di Malaysia,” ujarnya.