PUTRAJAYA - Rakyat di negara ini yang tidak berkesempatan untuk pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bersama keluarga boleh berbuat demikian mulai Rabu ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun hingga 31 Ogos pada Perutusan Khas di sini, tadi. 

Bagaimanapun Muhyiddin berkata, aktiviti rentas negeri tidak dibenarkan di kawasan yang diisytiharkan sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, mereka yang ingin menziarahi ibu bapa kerana tinggal berjauhan boleh berbuat demikian.

"Cuma nasihat saya sentiasalah jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung.

"Ingat, jika ibu bapa anda adalah warga emas, mereka berada dalam kategori orang yang mudah terdedah kepada jangkitan.

"Jadi, walaupun kita seronok dapat menziarahi mereka, tanggungjawab utama kita ialah untuk melindungi mereka daripada terkena jangkitan," jelasnya.

Selain itu Muhyiddin turut memaklumkan masih terdapat beberapa aktiviti yang tidak dibenarkan sepanjang PKPP berlangsung.

Fasa Pemulihan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) Bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020

1) Aktivit rentas negeri dibenarkan.

2) Aktiviti sosial akan beroperasi secara berperingkat.

3) Aktiviti berniaga akan dibenarkan.

4) Aktiviti komersial luar dibenarkan.

5) Mesyuarat dan bengkel dibenarkan.

6) Latihan kesukanan dibenarkan jika tiada sentuhan badan.

7) Pertandingan sukan yang melibatkan pengumpulan penyokong tidak dibenarkan.

8) Aktiviti pelancongan dalam negara (domestik) dibenarkan.

9) Sambutan Hari Raya Aidiladha dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

10) Sekolah akan dibuka secara berperingkat.

11) Waktu perniagaan akan kembali seperti biasa.

12) Hand sanitizer dan pelitup muka akan menjadi amalan.

13) Kelonggaran benarkan lebih ramai jemaah hadir ikut ruang keluasan masjid, rumah ibadat sedang diperhalusi kerajaan.

14) Kenduri dan rumah terbuka masih tidak boleh diadakan.

15) Pub, kelab malam, pusat karaoke, rumah terbuka tidak dibenarkan.