PUTRAJAYA – Sesi persekolahan akan dibuka semula secara berperingkat-peringkat pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini.

Sehubungan itu, satu pengumuman khusus akan dibuat oleh pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat.

Ketika mengumumkan perkara tersebut, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu garis panduan telah disiapkan sebagai persediaan bagi perkara tersebut.

“Menurut garis panduan yang telah dimaklumkan KPM pada 4 Jun lalu, hanya pelajar tingkatan lima dan tingkatan enam akan dibenarkan untuk kembali ke sekolah apabila ia dibuka semula.

“Antara yang perlu dipatuhi ialah jarak sosial, kebersihan tangan, pemeriksaan kesihatan, pembersihan dan sanitasi, hebahan maklumat langkah kesihatan dan keselamatan, susun atur meja dan aplikasi MySejahtera,” ujar Perdana Menteri.

Terdahulu, Muhyiddin mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan PKPP bagi menggantikan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang tamat 9 Jun ini.