PUTRAJAYA - Biarpun kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini sehingga 31 Ogos yang dilihat lebih longgar berbanding pematuhan sebelumnya, namun perlu diingat negara sebenar masih belum sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19.

Perkara ini ditegaskan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada ucapannya yang disiarkan secara langsung yang mengingatkan rakyat supaya terus mengamalkan langkah pencegahan dan norma kehidupan baharu bagi mengelak penularan.

“Jika saudara dan saudari semua terus berdisiplin dan beristiqamah, saya percaya InshaALLAH penularan wabak ini akan kekal terkawal dan kita akan memasuki fasa normalisasi selepas 31 Ogos 2020 sehinggalah vaksin untuk virus Covid-19 ditemui.

“Namun, saya ingin mengingatkan sekiranya berlaku peningkatan mendadak kes positif Covid-19 dalam tempoh ini, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau PKPD di kawasan atau lokaliti yang berkenaan.

“Saya harap kita semua sentiasa berdisiplin supaya peningkatan kes Covid-19 dapat kita elakkan,” tegasnya ketika menyampaikan Perutusan Khas hari ini.

Katanya, sejak PKP dilaksanakan hampir tiga bulan lalu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai strategi dan langkah yang wajar dalam menangani dan membendung wabak Covid-19.

Katanya, banyak kawalan dan sekatan yang dikenakan ke atas rakyat menyebabkan mereka terpaksa melupakan seketika perkara-perkara biasa yang dilakukan.