PUTRAJAYA - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos ini memberi perkhabaran gembira buat umat Islam apabila dibenarkan untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dan menyempurnakan ibadah korban.

Bagaimanapun, ianya tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama Islam.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara sama juga tertakluk bagi solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid serta lain-lain rumah ibadat.

Menurutnya, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi.

Sementara itu, pada sidang media berasingan, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, kebenaran untuk solat jemaah dan solat Jumaat hanya dibenarkan untuk warganegara sahaja.

Beliau berkata demikian ketika ditanya media adakah kelonggaran sembahyang di masjid atau surau turut melibatkan warga asing.

Mesyuarat mengenai SOP bagi solat Jumaat dan solat jemaah di masjid diadakan semalam, dengan keputusannya kini menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sebelum ini, kedua-dua ibadah tersebut hanya terhad kepada 30 orang sahaja dan bakal diberi kebenaran untuk menetapkan bilangan jemaah berdasarkan keluasan ukuran sesebuah masjid.