KUALA LUMPUR - Tempoh pengasingan selama tujuh hari akan dikenakan kepada mereka yang disahkan positif Covid-19 serta telah lengkap vaksinasi dan tidak bergejala.

Manakala tempoh 10 hari pula bagi mereka yang tidak lengkap, tiada vaksinasi atau bergejala.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, individu kontak rapat kepada kes positif Covid-19 yang telah mendapat dos penggalak perlu dikuarantin selama lima hari.

Menurut beliau, bagi kontak rapat yang telah lengkap vaksinasi dan yang belum lengkap atau tiada vaksinasi pula perlu menjalani perintah kuarantin selama tujuh hari.

"Sekiranya kontak rapat tersebut bergejala, lakukan ujian pengesanan jangkitan Covid-19 menggunakan RTK-Ag sama ada kendiri atau ke fasilti kesihatan berhampiran.

"Keputusan ujian kendiri hendaklah dimasukkan ke dalam Mysejahtera.

"Mereka juga perlu menjalani ujian RTK-Ag sama ada di fasiliti kerajaan atau swasta pada hari kelima (untuk kuarantin lima hari) dan hari ketujuh (untuk kuarantin tujuh hari).

"Sekiranya keputusan adalah negatif dan tidak bergejala maka mereka diberi pelepasan kuarantin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Khairy Jamaluddin, prosedur itu akan berkuat kuasa esok.

Katanya, ia turut terpakai pada mereka yang sedang menjalani pengasingan dan kuarantin manakala prosedur sedia ada bagi pengurusan pengembara yang baru tiba ke Malaysia masih terpakai.