Anak jati Ipoh muncul juara MasterChef UK Champion of The Champions
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Nasional
- Hits: 601
United Kingdom- Ping Coombes atau Ping Wan anak kelahiran Ipoh, Perak membanggakan negara setelah melakar sejarah peribadi apabila muncul sebagai juara program realiti MasterChef UK Champion of The Champions pada 31 Disember 2021 lalu.
Ping yang kini menetap di Bath, England setelah mendirikan rumahtangga bersama pasangannya, Andrew Coombees. Beliau pernah memenangi MasterChef pada 2014 di British Broadcasting Corporation (BBC) yang menampilkan masakan Malaysia antaranya Nasi Lemak Sambal Tumis Serai Udang dan Ayam Goreng Kunyit bersama Kerepek Kentang Sepanyol.
Namun kali ini beliau muncul sekali lagi sebagai juara keseluruhan MasterChef UK Champion of The Champions juga menerusi menu masakan yang berinspirasikan Malaysia.
Beliau kembali untuk program tersebut sempena sambutan tahun baharu 2022. Kali ini beliau bersaing dengan beberapa bekas juara termasuk juara 2011 Tim Anderson, Saliha Mahmood Ahmed (2017), Kenny Tutt (2018) dan Irini Tzortzoglou (2019).
Menerusi perkongsiannya di laman sosial Istagramnya (pingcoombes), menyifatkan kejayaan itu sebagai impian yang menjadi realiti.
"Terima kasih di atas sokongan padu masyarakat UK dan Malaysia yang mengucapkan tahniah tanpa henti kepada saya. Saya sangat menghargai dan berterima kasih kepada semua.
"Kembali ke dapur MasterChef mengembalikan begitu banyak kenangan indah dan ia membuatkan saya berasa gembira.
"Saya meletakkan diri saya di sana sekali lagi, terbuka kepada kritikan dan pujian positif dari pihak juri dan saya menerima dengan berbesar hati dan berasa sangat gembira," katanya.
Salah satu cabaran malam itu menyaksikan Ping memilih masakan terkenal Malaysia iaitu Ayam Claypot dan Ais Kacang, kedua-duanya dengan versi tersendiri, menampilkan meringue berperisa mawar dan mousse jagung.
Salah seorang juri, Gregg Wallace menyifatkan pencuci mulut itu sebagai 'benar-benar lazat', manakala John Torode, berkata masakan itu menonjolkan dua sisi berbeza Ping.
"Sajian masakan Ping hari ini sangat menyelerakan sehingga pihak juri kehilangan kata-kata, wow!," kata Torode.
Ping kini mengusahakan restorannya sendiri iaitu Ping's Makan Club di Bath, England. Selain itu ia pernah menghasilkan buku masakan berjudul Malaysia yang memuatkan koleksi resepi masakan tempatan.