Belum bincang untuk buka pintu sempadan negara
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 619
KUALA LUMPUR - Cadangan untuk membenarkan pintu sempadan negara dibuka pada 1 Mac ini berkemungkinan tidak berlaku memandangkan perbincangan untuk berbuat demikian tidak dilaksanakan.
Ini kerana kerajaan perlu membuat pertimbangan sewajarnya sebelum membuka sempadan walaupun ia membawa manfaat khususnya pada sektor ekonomi dan pelancongan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun langkah membuka sempadan kepada pelancong luar negara akan tetap dibuat kelak.
Kata beliau, cadangan itu akan dibincang melibatkan Kementerian Kesihatan dan juga wakil-wakil kementerian tertentu.
"Jika perlu kelulusan Sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau Kabinet kita akan bincang.
“Tetapi setakat ini kita tak ada bincang lagi. Kita tunggu dahulu kerana saya tak nak mendahului Kementerian Kesihatan sebab mereka belum rujuk saya lagi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri program Ramah Mesra bersama Jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Ledang di Dewan Putra, Padang Lerek di Tangkak, Muar, Johor.
Pada 8 Februari lalu, Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju untuk membuka sempadan negara seawal 1 Mac ini, tanpa perlu melakukan kuarantin wajib.
Namun kata Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ujian Covid-19 perlu dilakukan mengikut syor Kementerian Kesihatan sebelum berlepas dan sebaik tiba di pintu masuk utama negara.