PUTRAJAYA – Orang ramai yang ingin beriadah ke zoo kini boleh berbuat demikian apabila kerajaan membenarkan premis ini dibuka mulai esok.

Mesyuarat Khas pada hari ini telah bersetuju untuk memberi kebenaran tersebut tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya telah menerima permohonan berkenaan pembukaan zoo sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

“Pihak Zoo Negara bersama zoo-zoo lain telah membangunkan SOP bersama dan Mesyuarat Khas telah bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula zoo pada 10 Jun ini.

“Pada masa sama, orang ramai haruslah mengamalkan jarak sosial dan mematuhi langkah-langkah sewajarnya yang telah ditetapkan,” ujar beliau.