PUTRAJAYA – Semua surau yang terletak di pusat beli belah dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dibenarkan untuk dibuka semula bagi kegunaan orang awam.

Pembukaan ini bagaimana pun tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan perlulah mengamalkan disiplin diri serta penjarakan sosial.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran tersebut diputuskan pada Mesyuarat Khas hari ini. 

Menurutnya, turut dibenarkan beroperasi semula ialah gerai-gerai di kawasan R&R di mana pengendalinya hendaklah mengikut aturan yang telah ditetapkan.

“Mesyuarat Khas juga bersetuju untuk membenarkan restoran, gerai-gerai makan dan semua perniagaan menjual makanan untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.

“Namun harus ditegaskan penjarakan sosial perlu diamalkan sentiasa dan juga kebersihan diri,” ujarnya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelas Ismail Sabri lagi, kedai-kedai serbaneka dan runcit juga dibenarkan untuk beroperasi sehingga jam 12 tengah malam.