KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan negara memasuki fasa endemik sepenuhnya bermula 1 April depan.

Beliau pada sidang media khas secara langsung petang tadi memberitahu, fasa ini sementara sebelum negara beralih ke fasa seterusnya selepas diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kata Perdana Menteri, pengumuman ke fasa endemik itu dibuat sebagai satu strategi untuk membolehkan rakyat Malaysia menjalani kehidupan normal selepas dua tahun melawan Covid-19.

"Operasi kedai-kedai makan yang sebelum ini dibenarkan sehingga pukul 12 tengah malam kini dibenarkan dibuka 24 jam

"Pemilik boleh menjalankan operasi selama 24 jam mengikut syarat lesen operasi mereka," ujarnya.

Turut diputuskan ialah pembukaan semula sempadan negara bermula 1 April depan.

Keputusan itu bersandarkan tiga perkara asas iaitu sains dan fakta terkini Covid-19 selain membandingkan keperluan pembukaan sempadan di negara lain yang sebelum ini dihadkan.