RM1,500 kini jadi paras gaji minimum
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 675
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan bermula 1 Mei ini.
Pelaksanaan ini bagaimana pun hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Kata Perdana Menteri, kos sara hidup semakin meningkat akan menekan golongan B40.
"Saya mendengar perbahasan yang dibawa oleh perwakilan dan keluhan rakyat di luar sana.
"Justeru, hari ini saya ingin mengumumkan di dalam dewan keramat ini kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei 2022 di seluruh negara," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan PAU 2021 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini semalam.
Jelas Perdana Menteri, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan terlebih dahulu pelaksanaan kadar baharu gaji minimum itu pada syarikat kecil yang tidak mampu.
Katanya, perkara itu akan dibincangkan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
"Kita faham kalau ada restoran, gerai atau warung di kampung yang ada jumlah pekerja yang kecil, tidak wajar memaksa mereka.
"Jadi, 1 Mei ini untuk syarikat besar, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sebagainya," katanya.