PUTRAJAYA - Seramai 8,381 individu yang berada di pusat kuarantin akan menjalani baki tempoh pengasingan di kediaman masing-masing susulan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini.

Kumpulan ini telah pun menjalani saringan Covid-19 dan mendapat keputusan negatif. 

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka terlebih dahulu perlu memuat turun aplikasi MySejahtera untuk proses pemantauan sebelum dibenarkan menjalani proses kuarantin di kediaman mereka. 

Tegasnya, mana-mana individu yang mengingkari proses kuarantin wajib dan Prosedur Operasi Standard (SOP) boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah. 

“Semalam juga merupakan hari terakhir pusat kuarantin di hotel-hotel beroperasi. Bermula hari ini semua rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara akan menjalani saringan Covid-19 sejurus tiba.

“Sekiranya positif, mereka akan dihantar ke hospital untuk rawatan. Bagi yang negatif, mereka akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing,” ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.

Sehingga semalam, seramai 124 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dari Singapura, Indonesia, China serta Qatar dan dikuarantin wajib. 

Secara keseluruhannya pula, sejak 3 April lalu seramai 51,422 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira 42,817 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin dan dibenarkan pulang.