PUTRAJAYA – Biarpun pelaksanaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilihat sesetengah masyarakat sebagai lebih longgar berbanding sebelumnya, namun pematuhan berkaitan langkah-langkah mencegah penularan wabak Covid-19 tetap menjadi keutamaan.

Justeru, pihak berkuasa khususnya polis masih melakukan pemeriksaan dan penguatkuasaan demi memastikan Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan perkara ini terus dipatuhi.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hari pertama pelaksanaan PKPP semalam melalui Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 67,998 pemeriksaan.

Menurutnya, is melibatkan 3,473 pasukan pematuhan dengan seramai 16,811 anggota. 

“Bermula semalam, sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara ditamatkan, namun sekatan dan pemeriksaan masih dilakukan di lokasi yang dipercayai menjadi lorong tikus bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI). 

“SEMALAM, polis telah menahan dan mereman lima individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP selain mengeluarkan kompaun kepada 25 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan,” ujarnya pada sidang akhbar di sini, hari ini. 

Beliau berkata, berikutan tiada lagi operasi polis dan sekatan jalan raya, Ismail Sabri turut meminta orang ramai berhati-hati di jalan raya dan mematuhi peraturan bagi mengelakkan kemalangan dan kehilangan nyawa.

Katanya, aliran trafik di lebuhraya dan jalan utama di seluruh negara masih lancar, namun terdapat peningkatan pergerakan kenderaan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Karak.