PUTRAJAYA - Operasi prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dibenarkan dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini.

Bagaimanapun, operasi tersebut hendaklah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya telah bersetuju dengan SOP yang dibentangkan mengenai cadangan pembukaan prasekolah dan Tadika.

"SOP termasuk sewaktu murid datang dan pulang, cara mereka bermain dalam Tadika dan juga waktu makan.

"Semuanya lengkap dinyatakan, namun perincian SOP akan diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam masa terdekat," katanya di sini, semalam.

Ismail Sabri berkata, pembukaan keseluruhan prasekolah dan Tadika itu membabitkan kira-kira 6,216 prasekolah di bawah kendalian (KPM) serta 7,887 milik swasta.

"Tadika di bawah Kementerian Perpaduan Negara pula sebanyak 1,781 sementara di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar 8,530," katanya.