IPOH – Hidup tak selalunya indah, tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.

Negeri ini kehilangan sebutir intan berharga apabila tokoh Sasterawan Perak, Malim Ghozali PK atau nama sebenarnya Mohd Ghazali Abdul Rashid, 71, meninggal dunia hari ini.

Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) 2013 itu menghembuskan nafas selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, Selangor pada jam 11.20 pagi tadi.

Antara jasa Allahyarham dalam memperjuangkan kesusasteraan di Perak ialah apabila memperkenalkan pelbagai program termasuklah Festival Puisi dan Lagu Rakyat (Pulara).

Allahyarham menjalani pembedahan membuang tumor pada bahagian jantung semalam selepas mengalami gangguan pernafasan berikutan ketumbuhan berkenaan semakin membesar

Allahyarham meninggalkan dua balu dan enam anak.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau Ad Duha dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara selepas Asar.

Anak kelahiran Malim Nawar ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Gunung Panjang sebelum melanjutkan pengajian di Sekolah Menengah Anderson, Ipoh.

Lulusan Universiti Malaya dalam bidang sastera ini juga pernah mengikuti program Fellowship Penulisan Kreatif di Virginia Center for Creative Arts, Amerika Syarikat dan pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir.

Malim Ghozali Pk yang dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada 2014, pengarang prolifik yang menghasilkan karya dalam pelbagai genre.

Beberapa karyanya seperti novel Redang; Janji Paramaribo; kumpulan cerpen, Usia dan kumpulan puisi, Gemaruang.