Jangkitan HFMD dijangka turun
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 475
KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberitahu, trend jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dijangka menurun sedikit masa lagi.
Menurut beliau, berdasarkan jangkaan tersebut ia mengambil masa dua hingga tiga minggu lagi
Ini kerana katanya, kes jangkitan HFMD biasanya berlaku secara bermusim meningkat naik sebelum turun dengan signifikan dalam masa kurang sebulan.
"Apabila ramai kanak-kanak terdedah pada virus-virus tersebut, maka ia akan menjadikan tahap imuniti (kanak-kanak) meningkat seterusnya bilangan kes akan turun.
"Selain itu, intervensi daripada segi kebersihan kendiri, taska dan pusat asuhan juga membantu dalam menurunkan kes," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan daripada Kerajaan Jepun di Alor Setar, Kedah hari ini.
Pemberian sumbangan tersebut adalah melalui Bantuan Geran Jepun untuk Program Pembangunan Ekonomi dan Sosial 2020 untuk Malaysia di Hospital Sultanah Bahiyah.
Tambah Khairy, Jamaluddin, pihak kementerian telah mengenal pasti teori peningkatan kes HFDM secara mendadak.
Salah satunya adalah pembukaan semula tadika dan taska, cuma jika dibandingkan berbanding tiga tahun lalu kes tahun ini agak tinggi.
"Pada tempoh pandemik lalu kanak-kanak tidak keluar jadi bila tidak terdedah pada virus-virus ini, tahap imuniti mereka akan menurun kerana tidak pernah jumpa dengan virus tersebut," jelasnya.
Dalam perkembangan sama, ibu bapa dan penjaga disarankan untuk tidak menghantar anak-anak ke tabika dan taska sekiranya anak-anak mereka menunjukkan simptom HFMD.
Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, setakat ini, sebanyak 105 tabika dan 75 taska kendalian Kemas di seluruh negara terpaksa ditutup selama 10 hari ekoran penularan HFMD.
Katanya, anak-anak yang mempunyai simptom HFMD kelak perlu diambil pulang semula oleh ibu bapa dan penjaga masing-masing.
"Kita amat berharap situasi HMFD di seluruh negara dapat kembali dikawal berikutan cuti persekolahan sepanjang minggu ini," ujarnya.