KUALA LUMPUR - Golongan rakyat B40 akan menerima tambahan RM100 atau RM50 bagi bujang menerusi Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) susulan kenaikan harga barang.

Bantuan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sesi Sidang Media Khas petang tadi.

Menurut beliau, bayaran Fasa 2 BKM yang dibayar Isnin depan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion.

“Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing.

"Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta,” katanya tadi.

Pada sidang media sama, Perdana Menteri turut mengumumkan keputusan kerajaan tidak menyambung subsidi minyak berbotol kerana objektif awal program ini untuk membantu golongan terkesan pandemik.

“Sewaktu pandemik, kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1kg, 2kg, 3kg dan 5 kg pada Ogos 2021.

"Usaha ini bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat Covid-19," kata beliau.

Jelas Perdana Menteri, unsur penyelewengan yang tercetus dalam kalangan pemain industri dan pihak komersial selain aktiviti penyeludupan menjadi antara faktor subsidi minyak masak berbotol tidak diteruskan kerajaan.

Bagaimana pun katanya, subsidi minyak masak peket 1 kilogram yang diberikan sejak tahun 2007 itu akan diteruskan melibatkan sebanyak 66,000 tan metrik sebulan

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memutuskan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan mulai 1 Julai ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga barangan itu dijangka meningkat dan akan ditentukan oleh pasaran.

Beliau berkata, tindakan itu dibuat bagi memastikan bekalan bahan makanan dan harga dalam pasaran akan lebih stabil dalam tempoh jangka panjang.