IPOH - Tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memanggil beberapa ahli politik bagi merekod kenyataan bukan disebabkan desakan mana-mana pihak, sebaliknya ia dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan keperluan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menegaskan, tindakan tersebut dibuat selepas pihkanya menerima dan meneliti laporan yang dibuat oleh individu tertentu di seluruh negara berkaitan isu politik.

"Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengamanahkan saya sebagai Ketua Polis Negara, saya beri jaminan PDRM tidak diberi tekanan untuk mengambil tindakan seolah-olah menekan mana-mana kumpulan atau parti politik, saya tidak benarkan,” katanya.

Beliau ditemui media selepas majlis penyampaian pangkat secara “posthumous” atau anumerta, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM dan Faedah Terbitan untuk Allahyarham Sarjan Safwan Mohamad Ismail di Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, di sini hari ini. Majlis disempurnakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin. 

Sebelum ini, beberapa ahli politik termasuk bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh serta bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dipanggil oleh pihak polis untuk memberi keterangan susulan kenyataan masing-masing.

Abdul Hamid berkata tindakan memanggil beberapa ahli politik sepatutnya dibuat lebih awal, namun ia tertangguh disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu. 

“Tindakan memanggil ini bukan menangkap. SOP yang dijalankan adalah memanggil mereka mengikut tarikh diberikan dengan mengambil kira waktu senang mereka. Mereka hadir dan selepas itu beberapa soalan ditanya berdasarkan laporan polis yang diterima. 

“Sekiranya selepas proses soal jawab, polis mengesan wujudnya satu perbuatan fitnah, maknanya individu ini difitnah, kita akan mengambil tindakan mencari pula orang yang memfitnah,” katanya sambil menegaskan pegawai tidak dibenarkan menggunakan kekerasan sepanjang proses merekodkan kenyataan.

Mengulas tangkapan 18 pegawai dan anggota polis serta tentera kerana disyaki terbabit menjual maklumat kepada sindiket penyeludupan pendatang asing dan dadah di Johor, Abdul Hamid berkata siasatan akan diteruskan untuk mendapatkan identiti ahli sindiket itu.

Beliau berkata PDRM akan mengguna pakai prosedur siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 agar kesemua yang ditahan tidak dibenarkan ikan jamin dan memberi amaran lebih ramai akan ditangkap. 

“Siapa yang berani buat kena tanggung tiada kompromi. Kita amat fokus dalam usaha mengekang kemasukan pendatang tanpa izin,” katanya.

 

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan seramai 18 pegawai dan anggota polis serta tentera yang kesemuanya lelaki berumur antara 24 hingga 41 ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah negeri kerana dipercayai terbabit sindiket penyeludupan pendatang asing serta dadah dengan memperoleh bayaran RM500 hingga RM1,000 sebulan.

 

-END-