IPOH - Kerajaan meluluskan pemanjangan Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan (BIMLTK) kepada 1,200 pegawai dan anggota yang bertugas di 98 fasiliti jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) mulai 1 Jun lalu. 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini sebagai tanda penghargaan dan galakan kepada pegawai atau anggota yang berkhidmat di kawasan pedalaman membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Katanya, pecahan jabatan atau agensi dan perjawatan yang terlibat dengan BIMLTK membabitkan PDRM adalah sebanyak 1,064 perjawatan di 71 fasiliti, JIM (29 perjawatan, lapan fasiliti), Rela (14 perjawatan, lima fasiliti) dan JPN melibatkan 93 perjawatan di 15 fasiliti.

“BIMLTK akan dibayar secara kadar bulanan mengikut kategori iaitu pedalaman 1 (P1) akan menerima sebanyak RM500, pedalaman 2 (P2) sebanyak RM1,000 dan pedalaman 3 (P3) sebanyak RM1,500.

“Penentuan kategori tersebut adalah berasaskan kepada tahap kesukaran yang dinilai mengikut aspek-aspek kesampaian aksesibiliti, kemudahan asas dan kemudahan awam,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta, di sini hari ini.

Hamzah berkata, kriteria bagi menentukan lokasi pedalaman itu berada di dalam kategori P1, P2 atau P3 dibuat dengan mengambilkira bilangan mod pengangkutan termasuk kos, risiko perjalanan, sumber air, sumber elektrik, kediaman, sanitasi, telekomunikasi, perkhidmatan kesihatan dan sekolah serta kemudahan-kemudahan lain seperti bank, pejabat pos dan bekalan bahan api.

Dalam perkembangan lain, Hamzah turut menyampaikan pangkat Posthumus, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Faedah Terbitan Allahyarham Sarjan Safwan kepada bapanya, Mohamad Ismail Othman dan ibunya, Norriza Mat Sani.

Allahyarham Safwan menerima Skim Ex-Gratia Bencana PDRM dan Faedah Terbitan sebanyak RM180,135.45 setelah dinaik pangkat Sarjan secara Posthumous berkuatkuasa 3 Mei lalu, dengan pelarasan faedah terbitan mengikut pangkat Sarjan adalah berjumlah RM311,380.66 sementara waris akan menerima bayaran Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM sebanyak RM864 setiap bulan seumur hidup.

Allahyarham Safwan mula menyertai PDRM pada 1 Mei 2009 dan bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Kontinjen Selangor.

Dalam kejadian 3 Mei lepas, Allahyarham Safwan yang bertugas di sekatan jalan raya Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu laju oleh seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh alkohol.

Dalam kejadian jam 2.10 pagi itu, Safwan, 31, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Pada 13 Mei lalu, pemandu terbabit K Kalaichelvan, 44, seorang ahli perniagaan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kajang, bagaimanapun, dia mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol, tidak berhenti semasa sekatan jalan raya dan membawa kenderaan tanpa lesen memandu.