Semua fasiliti KKM guna pembayaran tanpa tunai 1 Oktober
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 594
IPOH - Mulai Oktober nanti, semua fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) akan menerima pembayaran tanpa tunai menerusi kad debit, kad kredit dan e-dompet.
Bagaimana pun, pembayaran secara tunai hanya dibenarkan jika pelanggan tidak mempunyai akses sedemikian.
Ketua Setiausaha KKM dalam satu pekeliling memaklumkan, pembayaran tanpa tunai ditetapkan menerusi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia Tahun 2021 bagi peringkat Persekutuan dan negeri.
Ia turut dilaksanakan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan hasil kerajaan selaras dengan Pelan Antirasuah KKM 2021-2022.
"Semua fasiliti KKM hanya akan menerima bayaran secara tanpa tunai sahaja melalui mod e-pembayaran.
"Kutipan hasil akan lebih cepat, mudah dan selamat. Selain itu, berlaku pengurangan kos dan proses kerja dalam urusan kutipan hasil dan pengurangan risiko jangkitan COVID-19 di kaunter bayaran," katanya.
Bagi memastikan kelancaran proses ini nanti, semua Jabatan Kesihatan Negeri perlu mengambil langkah bagi tujuan berkenaan.
Antaranya memastikan sekurang-kurangnya 95 peratus transaksi terimaan tanpa tunai di setiap fasiliti masing-masing.
Selain itu, pihak pengurusan fasiliti perlu memastikan semua petugas kaunter dilatih dengan penggunaan Terminal Point of Sale (TPOS), DuitNow dan kaedah rekod perakaunan.