PUTRAJAYA - Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad hari ini telah merasmikan inisiatif FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia 2.0 di Lobi Kementerian Pengajian Tinggi di sini.

Inisiatif ini mula dilaksanakan sejak tahun 2021 selaras dengan usaha kerajaan dalam memperkasa mahasiswa.

Ia sepertimana digariskan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 menerusi Lonjakan 1: Melahirkan Mahasiswa yang Holistik, Berciri Keusahawanan dan Seimbang.

Antara objektif inisiatif FOOD@CAMPUS Keluarga Malaysia ialah membantu meringankan tanggungan perbelanjaan makanan harian pelajar daripada golongan B40.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan memaklumkan, tambahan inisiatif kebajikan makanan tersebut melalui sumbangan tabung kebajikan, badan wakaf dan zakat serta agensi bertanggungjawab.

"Dalam majlis ini, Datuk Seri Dr. Noraini telah menyampaikan mock cheque berjumlah RM1 juta melalui Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia.

"Sumbangan ini untuk diberikan kepada universiti awam, politeknik dan kolej komuniti bagi memastikan kelestarian inisiatif ini," ujar kenyataan tersebut.

Turut dilancarkan ialah pertandingan mencipta logo Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia sebagai salah satu platform memacu penghasilan lebih ramai Creativepreneur dalam kalangan para pelajar IPT.

Di Tanjung Malim, jumlah pinjaman Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh dipertimbangkan untuk ditambah bagi keperluan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA).

Ia bagi mengimbangi keperluan semasa berikutan kos kenaikan barangan dan sara hidup.

Bagaimana pun, sebarang keputusan hendaklah
diputuskan oleh kerajaan setelah mengadakan perbincangan dengan pihak PTPTN dan
KPT.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Ahmad Masrizal Mohamad berkata, pihak turut cakna pada situasi sesama khususnya pada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah.

"Kita akan melihat pada perkara tersebut," katanya semasa hadir meninjau harga makanan di Kafe Kolej Kediaman Harun Aminurrashid, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di sini.

Dalam pada itu katanya, KPT akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau kos sara hidup dalam kalangan warga kampus IPTA yang kini terpaksa menanggung kenaikan harga makanan.

Jawatankuasa khas itu akan dipimpin pelajar dan dibantu oleh pihak pengurusan universiti.

Ia akan diwujudkan menjelang Ogos depan sebagai persediaan berikutan kemasukan pelajar baharu dan kedatangan warga kampus yang menyambung pengajian semula.