JERMAN - Durian, raja buah yang begitu popular di Asia Tenggara khususnya Malaysia, Thailand dan Indonesia rupa-rupanya dianggap bencana di negara barat.

Seperti dilaporkan media CNN, seramai 12 pekerja pos di bandar Bavarian, Schweinfurt, Jerman mendapatkan rawatan di hospital gara-gara bau durian.

Selain itu, berpuluh-puluh lagi dibawa keluar dari pejabat pos tersebut.

Ia berpunca daripada bau durian yang datang dari sebuah bungkusan yang di premis berkenaan sehingga menyebabkan polis dan bomba dikerah ke lokasi.

Kekecohan berlaku apabila salah seorang pekerja pos berasa curiga kerana terhidu bau yang asing.

Pihak berkuasa kemudian mengarahkan bangunan tersebut dikosongkan.

Seramai 60 pekerja juga dipindahkan sebelum bungkusan tersebut diperiksa dengan lebih teliti.

Setelah siasatan dibuat, ternyata bungkusan tersebut mengandungi empat buah durian dari Thailand milik seorang penduduk yang mengirim kepada rakannya.

Kejadian serupa berlaku dua tahun lalu di Australia apabila 550 pengunjung perpustakaan di Universiti Canberra gempar berikutan bau kuat yang menyebabkan mereka merasa mual.

Pasukan bomba yang dipanggil mulanya menyangka berlaku kebocoran gas sebelum siasatan kemudian menemui bungkusan durian diletakkan pada lohong sesalur pendingin hawa.