PUTRAJAYA – Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan penganjuran majlis sosial bermula 1 Julai ini yang meliputi majlis perkahwinan, pertunangan, doa selamat dan majlis pertemuan semula.

Keputusan kerajaan membenarkan penganjuran majlis sosial ini sudah pasti menggembirakan bukan sahaja orang ramai tetapi juga pengusaha acara termasuk perancang majlis perkahwinan.

Sebelum ini, ramai dalam kalangan golongan berkenaan terkesan teruk ekoran larangan penganjuran majlis termasuk kenduri kendara sebagai langkah memutuskan penularan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, kebenaran ini hanya boleh diadakan dalam tempoh antara tiga hingga lima jam sahaja dengan jumlah tetamu tidak lebih 250 orang.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kapasiti penganjuran juga bergantung kepada saiz serta ruang dewan di mana majlis diadakan. 

Menurutnya, makanan pada majlis juga boleh dihidangkan secara hidangan atau jika secara buffet hendaklah dihidangkan oleh pramusaji.

“Seperti juga kebenaran lain, Prosedur Operasi Standard (SOP) perlu dipatuhi seperti menyediakan kaunter pemeriksaan suhu badan pada pintu masuk dan memastikan bilangan tetamu tidak melebihi had ditetapkan. 

“Tetamu juga digalakkan memakai pelitup muka dan penganjur majlis mesti mendaftarkan tetamu menggunakan aplikasi MySejahtera,” ujarnya pada sidang akhbar di sini hari ini.