PUTRAJAYA – Orang ramai dipelawa untuk menyertai Pertandingan Mencipta Logo dan Tagline Kempen Kesedaran Covid-19 anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Hadiah keseluruhan sebanyak RM9,000 menanti pemenang bertuah. 

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pertandingan ini terbuka kepada semua lapisan rakyat termasuk yang menetap di luar negara.

Menurutnya, penyertaan dibuka mulai hari ini sehingga 10 Julai depan.

“Kerajaan bakal melancarkan Kempen Kesedaran Covid-19 di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak itu. Pelancarannya bakal disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada penghujung bulan ini.

"Justeru, pertandingan ini memberi peluang kepada rakyat untuk menzahirkan kreativiti mereka," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Penyertaan dan maklumat lanjut mengenai pertandingan ini boleh didapati dari laman sesawang KKMM: www.kkmm.gov.my atau www.penerangan.gov.my.