PUTRAJAYA – Semua sekolah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan dibuka semula secara berperingkat mulai 15 Julai ini.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, sesi persekolahan yang akan dibuka pada 15 Julai ini membabitkan murid Tahun 5, Tahun 6, Tingkatan 6 Semester 1, kelas peralihan serta tingkatan 1 hingga 4.
Menurutnya, bagi murid Tahun 1 hingga 4 pula sesi persekolahan akan bermula pada 22 Julai ini.
“Pembukaan semula sekolah ini melibatkan sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah swasta dan mana-mana institusi pendidikan yang berdaftar dengan KPM,” katanya pada sidang media khas, di sini, tadi.
Ujarnya, bagaimanapun, sekolah yang tidak berdaftar dengan KPM disaran untuk mengikut tarikh yang sama.
Sebelum ini, pelajar Tingkatan 5 dan 6 yang mengambil peperiksaan awam telah memulakan sesi persekolahan semula pada 24 Jun lalu, sepertimana yang diumumkan KPM.