PRU15: Elak perbuatan khianat, janji manifesto sukar dilaksanakan- Mufti Perak
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Nasional
- Hits: 672
IPOH: Umat Islam dinasihatkan supaya menjauhkan diri daripada perbuatan khianat dan menipu yang dilarang agama di sepanjang tempoh berkempen dan proses pembuangan undi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Mufti Perak, Datuk Wan Zahidi Wan Teh berkata, antara contoh penipuan dalam tempoh berkempen termasuklah menjanjikan manifesto yang sukar dilaksanakan.
Selain itu, memfitnah pihak lain semata-mata untuk meraih sokongan, serta menyebarkan risalah palsu demi mencipta imej buruk pihak lawan kepada orang lain.
"Penipuan sepanjang proses pengundian pula seperti pemalsuan identiti, pengundian dua kali, dan sebarang aktiviti yang mengganggu ketelusan proses pilihan raya.
"Sebarang unsur penipuan dan ketidaktelusan mestilah dielakkan agar proses pilihan raya ini benar-benar menatijahkan keputusan yang benar tanpa sebarang pertikaian dan penyesalan di kemudian hari.
"Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar dan merupakan suatu keaiban yang keji. Malah, para ulama telah menyatakan ijma' akan pengharamannya," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Jelasnya, penglibatan itu bukan sahaja tertakluk kepada para pengundi, malah kepada petugas serta pihak yang terlibat mengelolakan proses pengundian sepanjang PRU.
Dalam pada itu, Wan Zahidi berkata, umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya tidak seharusnya mengasingkan diri daripada sistem pengundian semasa pilihan raya umum sama ada suka atau tidak.
Ini kerana katanya, proses pengundian merupakan mekanisma tunggal yang menjadi penentu siapa yang bakal menerajui tampuk kepimpinan negara yang akan memimpin dengan adil dan saksama.