PUTRAJAYA - Syarikat penerbangan diminta untuk menyelaraskan harga tiket ke paras normal khususnya untuk pelajar serta guru sekolah dan institusi pengajian tinggi yang akan menyambung semula sesi pengajian. 

Langkah ini dilihat wajar memandangkan syarikat penerbangan telah dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sedia maklum berhubung perkara tersebut terutamanya bagi penerbangan domestik antara Semenanjung ke Sabah dan Sarawak.

Berikutan itu, beliau berkata, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP telah mengambil maklum isu harga tiket penerbangan yang tinggi. 

“Kita berpandangan harga tiket penerbangan perlu kembali semula kepada harga asal seperti sebelum PKP memandangkan tiada lagi sekatan jumlah penerbangan. 

“Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan telah diminta untuk mengadakan sesi libat urus bersama syarikat penerbangan bagi mencari jalan penyelesaian,” ujarnya pada sidang media, di sini hari ini.

Sebelum ini, rungutan tentang tiket penerbangan yang mahal disuarakan khususnya dalam kalangan guru dari luar Sarawak dan Sabah yang menghadapi masalah untuk kembali bertugas selepas bercuti semasa PKP selain kekurangan penerbangan antara wilayah.

Harga tiket penerbangan terlalu tinggi itu sehingga mencecah RM1,000 sehala menimbulkan kesulitan kepada guru untuk balik bertugas di sekolah masing-masing.

Dalam perkembangan lain, kerajaan telah membenarkan latihan dan aktiviti sukan serta rekreasi yang tidak ada sentuhan badan (non-contact) secara individu dan bukan berpasukan bermula 15 Jun 2020. 

Jelas Ismail Sabri, kerajaan mendengar rayuan serta keluhan daripada pengusaha-pengusaha sukan berkontak termasuk persatuan bola sepak bagi pembukaan semula aktiviti sukan berkontak. 

“Minggu depan, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan membentangkan kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan PKP mengenai cadangan membenarkan latihan penuh secara berkontak bagi sukan berpasukan seperti bola sepak dan sukan tempur," katanya.