PUTRAJAYA - Kira-kira 1,400 rakyat Malaysia yang menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu selepas pulang dari luar negara tetapi masih belum menjalani ujian saringan Covid-19 kali kedua kini dicari.

Ini kerana mereka sepatutnya perlu menjalani saringan tersebut iaitu pada hari ke-13 selepas didapati negatif ujian pertama.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kegagalan berbuat demikian adalah satu kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menurutnya, mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Ada 1,400 orang yang degil ini. Kita akan menghantar polis untuk mencari mereka supaya menjalani ujian saringan kali kedua.
"Justeru, sama ada mereka hendak menunggu polis datang atau sendiri pergi ke klinik atau menelefon pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membuat temu janji," katanya, pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain beliau memaklumkan, polis menahan 55 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di mana 11 daripadanya direman manakala 44 lagi dikenakan kompaun.
Antara aktiviti melanggar SOP termasuk karaoke atau pusat hiburan keluarga iaitu seramai 12 orang, refleksologi (enam), aktiviti yang melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (29) dan aktiviti yang melanggar SOP (enam).