Banjir: 17 pusat peperiksaan SPM terjejas di tiga negeri
- Details
- Rosli Mansor Hj. Ahmad Razali
- Nasional
- Hits: 624
Kuala Lumpur: Situasi banjir yang melanda beberapa buah negeri di seluruh negara yang turut memberi kesan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2022.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sentiasa peka dengan situasi semasa dan bersedia dengan prosedur operasi standard dan langkah persediaan sewajarnya bagi memastikan peperiksaan SPM tahun 2022 dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
Pengurusan pengendalian peperiksaan SPM tahun 2022 dalam situasi banjir dilaksanakan berpandukan kepada Pekeliling Persediaan Menghadapi Banjir yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan (Operasi Payung) Bil.1/2001.
Dalam satu kenyataan KPM, hujan lebat berterusan pada 1 Mac 2023, sebanyak 17 pusat peperiksaan di negeri Johor, Pahang dan Sarawak telah terjejas.
“Daripada jumlah itu, sebanyak tujuh pusat peperiksaan tidak dapat dibuka disebabkan terputus hubungan dan jalanraya tidak dapat dilalui oleh semua jenis kenderaan.
“Di Johor dan Pahang, seramai 195 calon terkesan dengan banjir namun berjaya digerakkan ke pusat-pusat peperiksaan yang berhampiran dengan bantuan agensi kerajaan untuk menduduki peperiksaan.
“Manakala, seramai 431 calon terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang dijadualkan atau pusat peperiksaan yang berhampiran.
“KPM melalui Lembaga Peperiksaan (LP) sedang mengumpulkan maklumat terperinci mengenai calon yang terlibat dan penjadualan semula peperiksaan SPM tahun 2022 akan dilaksanakan bagi kesemua 431 calon tersebut,” katanya.
Semua calon peperiksaan SPM tahun 2022 turut dinasihatkan untuk memaklumkan kepada pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dengan segera sekiranya terkandas dalam banjir dan tidak dapat hadir di pusat peperiksaan yang telah ditetapkan atau mana-mana pusat peperiksaan berhampiran.
Calon juga boleh menghubungi talian bilik gerakan banjir yang disediakan di ibu pejabat LP dan JPN di seluruh negara.
Penjadualan semula peperiksaan akan dilaksanakan bagi calon berkenaan setelah mendapat pengesahan Pengarah Pendidikan Negeri.