KUALA LUMPUR: Kementerian Luar bersama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengadakan mesyuarat koordinasi bersama kira-kira 28 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia berhubung insiden gempa bumi di Selatan Turkiye pagi semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pasukan petugas telah memberi taklimat kepada NGO yang hadir tentang perlunya tindakan secara teratur dalam menyampaikan bantuan kepada mangsa di Turkiye dan Syria.

”Pada masa yang sama, pasukan bantuan SMART batch pertama kita telah selamat tiba di Gaziantep iaitu kawasan paling berdekatan dengan lokasi bencana.

”Mereka sedang menunggu arahan daripada pihak berkuasa tempatan sebelum meneruskan operasi selanjutnya,” katanya memaklumkan keadaan semasa kejadian gempa bumi di Turkiye dan Syria dalam satu kenyataan di Facebooknya di sini.

Zambry berkata, kerajaan Turkiye sendiri telah menghubungi kerajaan Malaysia untuk memohon bantuan tambahan dihantar ke sana.

”In shaAllah malam ini (malam semalam) kita akan menghantar satu lagi pasukan bagi menyertai misi bantuan dan menyelamat di Turkiye seperti yang diminta,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan terus memantau keadaan semasa rakyat Malaysia yang berada di tempat kejadian.

”Saya juga menasihatkan agar rakyat Malaysia sentiasa peka dan berhubung dengan pihak Kedutaan mahupun Konsulat Malaysia di sana bagi mendapatkan maklumat terkini,” katanya.

Tamat