PUTRAJAYA – Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan mencemar duli menjadi responden pertama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 (Banci 2020).

Menariknya, bancian yang dibuat Baginda ini disiarkan pada paparan video ringkas yang ditayangkan pada majlis pelancaran Banci 2020 oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Pada video tersebut, Seri Paduka bertitah supaya rakyat turut bersama-sama menjalankan tanggungjawab tersebut.

"Hari ini, beta telah mengisi e-Census (portal Banci 2020). Bersamalah kita menjalankan tanggungjawab demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara," titah Al-Sultan Abdullah.

Terdahulu semasa berucap merasmikan majlis tersebut, Perdana Menteri memberitahu, pelaksanaan Banci 2020 sangat penting dalam memberikan gambaran sebenar mengenai situasi penduduk semasa yang akan menjadi sumber rujukan kepada perancangan pembangunan negara.

Katanya, melalui Banci 2020 dapat melengkapkan data berhubung saiz penduduk, taburan ekonomi, komposisi dan ciri sosio-ekonomi penduduk serta perumahan di negara dapat dikenalpasti.

“Walaupun situasi negara masih mendepani saat sukar susulan wabak Covid-19 dan fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) namun, banci ini dibuat selaras dengan agenda kesejahteraan dan kelestarian negara.

“Maklumat yang dibekalkan ini akan mencorakkan kehidupan generasi pada masa hadapan, yang bakal mengemudi negara ini ke satu tahap yang lebih baik” ujarnya.

Tegas beliau, panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) akan disediakan dan dipatuhi para petugas Jabatan Perangkaan Malaysia dan kalangan masyarakat yang terlibat dalam melengkapkan keperluan Banci 2020 ini.

Katanya, 108 soalan dalam Banci 2020 telah mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk dari kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli.