PUTRAJAYA – Kadar garis kemiskinan nasional yang menetapkan pendapatan isi rumah sebanyak RM980 sebulan akan disemak semula sejajar dengan perubahan sosial dan ekonomi semasa.

Angka tersebut berasaskan kajian yang dilakukan Jabatan Perangkaan pada tahun 2005 yang dilihat tidak relevan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kadar semakan yang baharu itu akan diumumkan tidak lama lagi selaras dengan matlamat kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11.

Menurutnya, isu garis kemiskinan itu telah dibincangkan dalam Kabinet sejak tahun lalu dan beberapa jawatankuasa Unit Perancang Ekonomi telah menyemak dan mengemas kini angka tersebut.

Difahamkan, pihak Jabatan Perangkaan sudah melakukans semakan sejak dua tahun lalu dan dibentangkan kepada Kabinet.

Pada tahun lalu, Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Philip Alston, berkata kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah jauh lebih tinggi, hampir sama dengan negara lain iaitu pada kadar kira-kira 15 peratus.

Alston yang juga pakar hak asasi manusia PBB, berkata ia adalah hasil penemuannya selepas mengadakan lawatan ke negara ini selama 11 hari bermula 13 Ogos lalu.