PUTRAJAYA - Kerajaan bersetuju untuk membenarkan pembukaan semula pusat hiburan keluarga setelah meneliti pembentangan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Kelulusan ini melibatkan arked permainan/ taman Funfair Indoor, hiburan pendidikan (edutainment), gym permainan kanak-kanak, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga.

Bagaimanapun, operasi pub dan disko masih tidak dibenarkan.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan ini sudah pasti melegakan lebih 3,000 tenaga kerja yang terlibat serta sumbangan RM500 juta kepada pendapatan negara. 

Menurutnya, pihak pengendali juga hendaklah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memuat turun aplikasi MySejahtera bagi proses pendaftaran

“Petugas pula mestilah memeriksa suhu badan, mengehadkan jumlah pengunjung berdasarkan saiz premis dan mengamalkan jarak sosial. 

“Kita juga menggalakkan penjualan tiket secara atas talian manakala pembersihan dan disinfeksi secara berskala mesti dilakukan,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu katanya, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersetuju untuk mempertimbangkan semula had maksimum 250 peserta atau pengunjung bagi majlis agama, acara sosial dan rasmi.

Ini termasuk kehadiran pada mesyuarat, perhimpunan, latihan serta jemaah masjid, surau dan rumah ibadah bukan Islam.

Tambahnya, Mesyuarat Khas telah bersetuju untuk menyelaraskan had maksimum peserta atau pengunjung mengikut kapasiti ruang serta pematuhan penjarakan sosial bermula 15 Julai ini.