KUALA LUMPUR – Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) baharu nasional adalah RM2,208 sebulan bagi satu isi rumah, selepas kerajaan mengkaji semula metodologinya yang dikemaskini pada tahun lalu.

Kali terakhir pengiraan PGK adalah pada tahun 2005 dan PGK pada tahun 2016 adalah sebanyak RM980 sebulan bagi satu isi rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, berdasarkan PGK baharu ini, kadar kemiskinan negara naik 5.6 peratus kepada 405,441 isi rumah bagi tahun 2019.

Menurutnya, usaha penambahbaikan kaedah pengukuran kemiskinan ini bermula daripada pembentangan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (KSP RMKe-11) pada 18 Oktober 2018.

Bertitik tolak dari itu katanya, kerajaan telah mengkaji semula metodologi penetapan PGK supaya ia lebih menggambarkan corak perbelanjaan dan keperluan serta demografi semasa isi rumah.

”Kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan termasuk Kerajaan Negeri perlu mengambil maklum PGK 2019 dalam merancang dasar dan program mereka serta mengkaji semula dasar berkaitan pembasmian kemiskinan dan bantuan sosial.

“Berpandukan statistik yang tepat, kerajaan akan dapat menggubal dasar dan strategi serta merangka program yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar terutamanya golongan miskin,” katanya.

Jelasnya, ini termasuklah dalam menyediakan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK ke-12), 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan.