KUALA LUMPUR - Dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak akan diperkenalkan semula sekali gus memuktamadkan keputusan Kementerian Pendidikan.

Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, kementeriannya tidak berhasrat untuk memperkenal semula dasar tersebut.

Perkara itu dinyatakan beliau menerusi jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen (Selayang-Pakatan Harapan (PH)), William Leong.

William meminta menteri menyatakan alasan untuk memperkenal semula PPSMI yang dirancang ketika pemerintahan pentadbiran PH dan apakah penambahbaikan yang dibuat untuk mengatasi kelemahan terdahulu.

PPSMI diperkenal kepada murid Tahun 1 di sekolah rendah dan Tingkatan 1 sekolah menengah pada 2003 tetapi dihentikan pada 2013.

Pada Julai tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kementerian itu sedang mengkaji secara terperinci cadangan untuk melaksanakan semula dasar PPSMI kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa.

Sementara itu, kementerian itu memaklumkan pengenalan tulisan Jawi akan terus dilaksanakan di sekolah jenis kebangsaan dan sekolah mubaligh bantuan kerajaan jika dipersetujui Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta murid.

Namun, kementerian tersebut akan memperhalusi semula perkara berkaitan dengan tulisan Jawi secara menyeluruh dan holistik.

Radzi memberikan jawapan itu secara bertulis kepada ahli Parlimen (Bukit Mertajam-PH) Chee Keong yang meminta menteri menyatakan pendirian terhadap pengenalan Jawi dalam sukatan buku teks Bahasa Melayu Darjah 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Pada 14 Ogos tahun lalu, Kabinet memutuskan bilangan muka surat pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks dikurangkan daripada enam muka surat mengikut cadangan asal kepada tiga muka surat.