KUALA LUMPUR - Filem animasi pecah panggung tempatan, Ejen Ali The Movie tersenarai dalam akhir 16 karya yang bakal bertanding untuk kategori Filem Animasi Terbaik Festival Filem Cartoons on the Bay Anugerah Pulcinella ke-24 di Pescara, Itali pada 3 hingga 5 Disember ini.

Primeworks Studios dan WAU Animation dalam satu kenyataan memaklumkan, filem tersebut berjaya ditempatkan sebaris dengan lebih 350 karya animasi hebat dari 20 buah negara.

Festival Cartoons on The Bay mula diperkenalkan pada tahun 1996 untuk mendedahkan himpunan karya animasi Itali. dan menjadi antara acara terpenting dalam kalendar industri kanak-kanak antarabangsa.

Panel juri antarabangsa bagi kategori filem pada tahun ini adalah Stefania Ulivi (Wartawan, Corriere della Sera), Arianna Finos (Wartawan, La Repubblica) dan Flavio Natalia (Pengarah dan Wartawan, CIAK).

Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar berkata ia merupakan penghormatan besar kepada pihaknya dan juga Malaysia.

“Ia menjadi titik tolak kejayaan yang membanggakan filem ini kerana dapat berada seiring dengan pengkarya kreatif animasi terbaik antarabangsa yang lain.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada rakan karya kami di WAU Animation di atas pencapaian mereka dalam menghasilkan dunia animasi yang unggul dengan penceritaan indah yang dilihat dalam filem ini,” katanya.

Ejen Ali The Movie berjaya meraih kutipan lebih daripada RM30.8 juta dalam carta pecah panggung Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

Kejayaan itu sekaligus menjadikannya sebagai filem pilihan nombor satu di Malaysia pada tahun lalu.