PUTRAJAYA – Masih ada segelintir masyarakat yang enggan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila seramai 78 orang ditahan pihak berkuasa kerana ingkar arahan tersebut.

Daripada jumlah itu, seorang direman dan 35 individu dijamin, manakala 42 individu lagi dikenakan kompaun. 

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan ingkar PKPP termasuk aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial dan aktiviti yang melanggar SOP.

Menurutnya, semalam, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 64,303 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKPP. 

“Antaranya membuat pemantauan di pasaraya melibatkan 3,919 premis, 5,541 restoran serta 1,658 penjaja, 1,178 kilang, 3,790 bank dan 636 pejabat kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dalam pada itu, seramai 934 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA dan KLIA2 dari Jepun, Indonesia, Qatar, UAE, Singapura, Australia, Turki, Korea Selatan, India, Bangladesh dan Iran.

Jelas Ismail Sabri, seramai 933 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka manakala seorang telah dibawa ke hospital.

“Semalam, PDRM telah membuat 1,433 pemantauan pematuhan SOP kuarantin di rumah dan mendapati kesemua mereka mematuhi SOP yang ditetapkan,” ujarnya.