PENGARAH Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerima Anugerah BrandLaureate-Jenama Kepimpinan 2020 daripada Yayasan Jenama Dunia (The World Brands Foundation).

Anugerah itu diberikan bagi menghargai kesungguhan dan komitmen beliau dalam menangani pandemik Covid-19.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula diiktiraf sebagai penerima Anugerah BrandLaureate - Sijil Pengiktirafan dan Penghargaan.

"Saya bersama-sama barisan hadapan dan mereka yang bekerja di belakang tabir mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan antarabangsa di atas penghargaan ini.

"Penganugerahan ini untuk semua pihak yang terlibat yang secara tidak langsung mencerminkan dedikasi, komitmen, pengorbanan dan ketahanan setiap individu di KKM serta pelbagai agensi lain dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara," katanya dalam satu perkongsiannya di laman Facebook kelmarin.

Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan kepada barisan hadapan serta pihak berkuasa sepanjang masa yang mencabar ini.

"Marilah kita teruskan lagi usaha dan kesungguhan kita dalam memerangi Covid-19, musuh yang tidak kelihatan," ujarnya.