Lebih 100,000 golongan hilang pekerjaan tidak dapat BPN
- Details
- Sheqal Danish
- Nasional
- Hits: 665
KUALA LUMPUR 9 Mei – Lebih 100,000 yang hilang pekerjaan pada tahun lepas dan tahun ini gagal mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana dikatakan tidak layak.
Dipercayai, pihak yang menguruskan BPN menggunakan sistem semakan yang sama seperti sebelum ini iaitu hanya menggunakan data pendapatan pemohon dan perayu berdasarkan pendapatan yang direkodkan LHDN tahun lepas.
Antara yang terkesan termasuklah kira-kira 860 bekas kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad (Utusan) yang diberhentikan kerja tahun lepas.
Utusan yang merupakan penerbit akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!, selain majalah telah ditutup pada 9 Oktober tahun lepas kerana diisytiharkan bankrap.
Selain mereka, terdapat lebih 800 bekas kakitangan lagi yang mengambil Skim Perberhentian Sukarela (VSS) pada 2018 juga masih belum menerima bayaran VSS mereka sepenuhnya.
Rata-rata bekas kakitangan Utusan tersebut masih belum mendapat pekerjaan baru dengan majoriti hanya melakukan kerja-kerja sampingan dengan pendapatan kecil untuk menyara kehidupan keluarga.
Alasan yang diberikan laman web BPN sebelum ini adalah ‘tidak layak kerana mempunyai pendapatan melebihi kelayakan’.
Manakala alasan terbaru rayuan ditolak pula adalah 'tidak layak kerana pendapatan melebihi RM4,000 atau RM8,000.'
Keadaan itu tidak sepatutnya berlaku kerana sudah tentu pegawai-pegawai kerajaan, termasuk LHDN mengetahui yang syarikat Utusan Melayu telah ditutup tahun lepas.