Tempoh PKPB Dilanjutkan Sehingga 9 Jun Ini
- Details
- Nasional
- Hits: 725
PUTRAJAYA - Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berakhir 12 Mei akan disambung empat minggu lagi sehingga 9 Jun ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan untuk menyambung tempoh PKPB dilaksanakan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Beliau berkata, semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan sepanjang PKPB diteruskan sehingga 9 Jun ini.
"Sebarang perubahan mengenai peraturan SOP atau senarai sektor yang beroperasi akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di sini.
Pada 4 Mei lalu, kerajaan melaksanakan PKPB bagi membenarkan sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.
Katanya, beberapa minggu ke hadapan ini agak kritikal dan pelaksanaan PKPB hanya dapat dilihat dalan tempoh beberapa minggu lagi.
"Jika berlaku peningkatan kes yang ketara dalam tempoh ini, kerajaan akan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi kawasan yang terjejas dan kita nak elakkan perkara ini daripada berlaku.
" Oleh sebab itu, saya nak merayu kepada saudara saudari semua supaya patuhilah SOP yang ditetapkan oleh kerajaan," ujarnya.
Beliau berkata, perayaan Aidilfitri, Hari Keamaatan dan Hari Gawai akan terkesan dengan lanjutan PKPB.
Katanya, ketiga-tiga perayaan itu tidak boleh diraikan besar-besaran demi memastikan pencegahan wabak Covid-19 dapat diteruskan.
"Minta maaf banyak-banyak, saya mohon ampun, demi menjaga keselamatan dan kesihatan kita semua, perjalanan balik kampung merentas sempadan negeri untuk tujuan berhari raya tidak dibenarkan.
"Saya tahu ramai yg sedih tak dapat balik berhari raya di kampung bersama keluarga. Bersabarlah. Bila keadaan kembali pulih sedikit masa lagi, saudara-saudari bolehlah balik ke kampung halaman menziarahi ibu bapa dan sanak saudara," katanya.
Bagaimanapun katanya, orang ramai dibenarkan menziarahi jiran tetangga di kawasan tempat tinggal masing-masing dengan had 20 orang sahaja.
“Tetapi ini tak bermakna kita tak boleh menyambut perayaan Aidilfitri, Pesta Kaamatan atau Hari Gawai, ziarah-menziarahi dibenarkan dalam kalangan jiran terdekat dan keluarga yang tinggal dalam negeri yang sama dengan had maksimum 20 orang pada satu-satu masa.
“Setiap keluarga hendaklah mematuhi SOP kesihatan seperti penjarakan sosial, pemakaian penutup mulut dan hidung, dan amalan kebersihan kendiri seperti penggunaan hand sanitizer sepanjang sambutan perayaan ini,” jelasnya.
Muhyiddin berkata, pasangan suami isteri yang tinggal di negeri berasingan kerana faktor kerja akan diberi kelonggaran untuk membuat perjalanan rentas negeri.
Katanya, permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi Gerak Malaysia atau datang sendiri ke balai polis terdekat.