KUALA LUMPUR - Seramai 442 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) dan daripada jumlah itu, 430 telah dikenakan kompaun manakala 11 direman dan satu dijamin.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara kesalahan direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan seramai 144 orang, tidak mematuhi arahan penjarakan fizikal (88) dan gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80).

Beliau berkata, turut dikenakan kompaun ialah atas kesalahan tidak memakai pelitup muka (71), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (8) dan lima atas kesalahan lain.

“Kawalan sempadan negara menerusi Operasi Benteng semalam pula telah menangkap 102 orang pendatang asing tanpa izin serta merampas empat kenderaan operasi yang diadakan di seluruh negara.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 114 buah bot dan kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Op Benteng melibatkan polis, tentera, Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 447 sekatan jalan raya.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri, pada semalam seramai 1,112 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Sejak 24 Julai tahun lalu seramai 138,771 individu telah pulang ke tanah air dan kesemuanya ditempatkan di 78 hotel dan 11 Institut Latihan Awam (ILA) serta institut pengajian swasta di seluruh negara.