BANGKOK – Impak ekonomi akibat wabak Covid-19 memaksa kira-kira 19,000 pekerja Thailand yang bekerja di Malaysia kembali ke negara asal.
 
Bagaimanapun, masih terdapat 30,000 warganegara itu yang memilih untuk terus kekal di Malaysia.
Kebanyakan golongan pekerja Thailand ini bekerja sebagai tukang masak atau pembantu di restoran masakan Siam.
 
Konsul Jeneral Thailand ke Kota Bharu, Mongkol Sinsomboon berkata, angka terbaharu menunjukkan 38,487 pekerja Thailand bekerja secara sah di Malaysia dengan 30,000 yang lain bekerja secara haram.
 
Katanya, dianggarkan sebanyak $400 juta bhat atau RM53 juta dihantar pulang golongan pekerja tersebut setiap bulan ke kampung halaman.
 
"Bagaimanapun Covid-19 mendorong kerajaan Malaysia untuk mengisytiharkan perintah darurat dan menjadikan ramai pekerja Thailand hilang pekerjaan.
 
"Sebelum wabak Covid-19 melanda tahun lalu, dasar Malaysia yang tertakluk di bawah akta buruh asing dilihat sangat menarik buat pekerja Thailand," ujarnya memetik lapor Bangkok Post.
 
Menerusi akta itu, kerajaan Malaysia mula mewajibkan majikan untuk mengambil perlindungan keselamatan sosial untuk pekerja asing.
 
Bermula pada 1 Januari tahun lalu, Malaysia menaikkan gaji minimum kepada 8,995 baht (RM1,200) sebulan berbanding RM1,100 sebelumnya.
 
Gaji minimum baharu tersebut dikenakan untuk semua jenis pekerjaan kecuali pembantu rumah.
 
Bagaimanapun, penularan Covid-19 memaksa kerajaan Malaysia melaksanakan perintah berkurung dan menjadikan negara itu bergelut mengatasi masalah hutang awam selain kejatuhan nilai ringgit.
 
Kesan penguatkuasaan perintah berkurung menyebabkan ramai pekerja Thailand memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak kerja manakala selebihnya memilih untuk berhenti kerja.