IPOH - Polis mengesahkan sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini.

Kompaun tersebut dikeluarkan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kesemua individu itu dikenakan kompaun atas kesalahan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) PKP.

"Ya, 330 individu untuk notis kompaun pesalah SOP PKP," kata Ketua Polis Negara.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar semasa hadir pada smMajlis Pemakaian Sayap Juruterbang dan Penutupan Rasmi Kursus Lesen Juruterbang Persendirian di Pangkalan Latihan Pasukan Gerakan Udara (PLPGU) di sini hari ini.

Semalam, Abdul Hamid berkata, nilai kompaun kerana melanggar SOP PKP dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

Antara kesalahan SOP PKP adalah seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal atau premis tidak menyediakan alat pengukur suhu.

Dalam pada itu, tular di media sosial seorang individu dikenakan kompaun RM10,000 gara-gara tidak mendaftar diri menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB).

Tindakan tersebut disahkan oleh Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon yang berkata, pemeriksaan mendapati individu terbabit juga tidak mendaftar diri dalam buku daftar disediakan pekedai.