IPOH - Tambahan kuota rasmi haji dijangka akan dimaklumkan pada Ramadan atau April bergantung kepada makluman rasmi daripada kerajaan Arab Saudi. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebelum ini Malaysia telah mendapat tambahan 10,000 kuota rasmi haji yang akan dilaksanakan selepas keadaan wabak Covid-19 terkawal dan ibadah itu dibuka semula.
 
Katanya, Lembaga Tabung Haji (TH) sentiasa bersiap sedia dalam membantu menyelesaikan urusan jemaah sebaik sahaja mereka diberikan tawaran rasmi untuk mengerjakan Rukun Islam kelima itu. 
 
"InsyaALLAH, saya jangka Arab Saudi akan umum (pertambahan) secara rasmi sekitar Ramadan dan biasanya jarang orang nak selesaikan urusan dengan jumlah ramai di saat akhir, maka kita tunggu sahajalah," katanya. 
 
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan perkara tersebut telah dipersetujui oleh Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud, dalam satu pertemuan di Riyadh, baru-baru ini.
 
Dalam perkembangan berkaitan Zulkifli berkata, TH juga akan mempertimbangkan cadangan berhubung mengutamakan warga emas menunaikan haji. 
 
Beliau ditemui selepas menyerahkan sumbangan komputer riba kepada pelajar asnaf Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Perak di Dewan Besar Tabung Haji di sini. 
 
Bagi program tersebut, TH memperuntukkan RM750,000 di bawah Program Iqra' TH bagi disumbangkan kepada 218 pelajar UTM di Perak, Johor, dan Pahang bagi menampung pengajian pelajar daripada keluarga asnaf serta B40.