KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama Imperial Garments Flat Anjung Tawas Damai, Kinta, Perak akan ditamatkan esok, 14 Mac sepertimana yang dijadualkan.

Ia diputuskan setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kerajaan sebelum ini melaksanakan PKPD di lokaliti berkenaan bermula 1 Mac lalu susulan peningkatan kes secara mendadak di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan berkata, sehingga kini KKM telah melaksanakan 619 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 389 kes telah dilaporkan.

Menurut beliau, KKM juga mengesahkan tiada kes baru Covid-19 direkodkan dan kluster adalah terkawal manakala semua kes positif serta kontak rapat telah diasingkan.

“Bagaimana pun, bagi PKPD Penjara Tapah dan Kuarters Kakitangan, Batang Padang, Perak yang dijadualkan tamat pada 15 Mac akan dilanjutkan lagi sehingga 29 Mac.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 2,660 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 556 kes positif COVID-19 telah direkodkan,” ujarnya dalam kenyataan tersebut.

KKM turut mengesahkan terdapat 562 lagi baki sampel saringan sedang menunggu keputusan serta masih berlaku penularan kes melibatkan tahanan di penjara itu.