KUALA LUMPUR - Berita baik bagi pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan potongan diskaun RM10 mulai April ini bagi setiap tiket di bawah kempen promosi Cuti-Cuti Malaysia. 

Kempen yang turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu akan berlangsung selama tiga bulan hingga 30 Jun ini.
 
Bagaimanapun diskaun berkenaan hanya boleh dinikmati pengguna melalui pembelian tiket menggunakan aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau laman sesawang KTMB sejajar dengan norma baharu kerajaan yang menggalakkan transaksi atas talian. 
 
KTMB dalam kenyataannya turut memaklumkan jualan tiket itu dibuka bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal untuk bercuti di dalam negeri tertakluk
kepada arahan yang ditetapkan kerajaan dari semasa ke semasa. 
 
Dalam perkembangan sama, KTMB turut memaklumkan jualan tiket bagi perkhidmatan ETS untuk perjalanan 1 April hingga 30 Sept 2021 akan dibuka mulai esok 15 Mac, melibatkan 24 perkhidmatan ETS disediakan menggunakan jadual waktu sedia ada.