KUALA LUMPUR – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kilang YTY dan asrama pekerja di Lekir, Sitiawan, Perak yang sebelum ini dijadualkan tamat hari ini akan dilanjutkan lagi selama 14 hari.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu diambil selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan penghuni asrama.

Menurut beliau, kes terakhir dilaporkan adalah pada Ahad lalu iaitu sebanyak tujuh kes.

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 1,174 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatifnya sebanyak 109 kes positif Covid-19 telah direkodkan.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kawasan itu bermula Jumaat ini sehingga 15 April depan, “katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada 23 Mac lalu, KKM mengesahkan semua 1,051 pekerja warga asing kilang sarung tangan YTY di Lekir dekat sini yang dikenakan PKPD bermula 19 Mac  sudah menjalani ujian saringan Covid-19.

Daripada jumlah itu, difahamkan seramai 100 kes positif telah direkodkan.

Penguat kuasaan PKPD melibatkan kawasan kilang dan asrama pekerjanya dilaksanakan sehingga 1 April ini.

Semua pekerja warga asing itu terdiri daripada warga Bangladesh, Nepal, Vietnam dan Myanmar yang menghuni tiga blok asrama di situ.

Dalam kenyataan sama, Ismail Sabri turut memaklumkan pelanjutan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.

Katanya, PKPD di kawasan itu yang dijadual tamat Jumaat ini dilanjutkan sehingga 16 April depan.