PUTRAJAYA – Seramai 2,969 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 sesi kedua di 197 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini hingga 23 April depan.

Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan (LP KPM) berkata, peperiksaan SPM sesi kedua itu adalah bagi calon yang tidak dapat menduduki peperiksaan pada 22 Februari hingga 25 Mac lepas kerana disahkan positif Covid-19 atau perlu menjalani tempoh kuarantin.

Menurut kenyataan tersebut, calon yang terlibat dengan peperiksaan SPM 2020 sesi kedua diingatkan untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan, serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

“Calon juga diingatkan supaya membawa Dokumen Pengenalan Diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.

“Calon hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian

Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dikeluarkan oleh KPM serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” kata kenyataan tersebut.

Jadual waktu peperiksaan SPM 2020 sesi kedua boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan di http://lp.moe.gov.my/0.